Friday, November 6, 2009

TePUK DaDA TANya SELEra

Sekolah satu aliran bukan sekali diutarakan. Bila diutarakan adalah suara-suara yang tak puas hati dan menyokong. biasale mana manusia boleh satu kepala, satu suara satu nada. tapi yang penting tujuan dan matlamat. jangan ada kepentingan tertentu.
Suke lah saya dengan pandangan ini. anda baca, anda nilai.......

Polemik sekolah satu aliran UM- 5/11/09

Oleh Dr. Firdaus Abdullah


JIKA belum sedia satu aliran
Sekolah wawasan perkasakanlah dulu
Angkuh dan sombong elok elakkan
Demi keselamatan anak dan cucu


SEORANG pensyarah kanan di sebuah universiti terkemuka berkata, sekolah satu aliran itu sudah pasti akan meningkatkan tahap permuafakatan di kalangan pelajar, tetapi adakah ia dipersetujui oleh penduduk bukan Melayu?

Itulah inti polemik sekolah satu aliran yang tercetus kembali berikutan saranan Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim yang kemudian bergema pada perbahasan di Dewan Rakyat.

Isu ini telah pun ditimbulkan lebih setengah abad lalu. Ertinya, sebelum merdeka, isu ini telah jadi perdebatan.

Perbezaan pendapat tentang masalah pendidikan pernah hampir melumpuhkan UMNO apabila parti itu diboikot oleh guru-guru Melayu yang menjadi tulang belakangnya pada akhir 1950-an. Begitu juga yang dialami oleh MCA. Penyelesaian dan kesepakatan pelbagai pihak tentang isu-isu pendidikan sebenarnya dirumuskan dalam Penyata Razak (1956) dan disemak serta diperhalusi dalam Penyata Rahman Talib (1960).

Sebenarnya sejak dua tiga tahun lalu, Kay Kim dan beberapa tokoh politik UMNO telah menimbulkan kembali isu sekolah satu aliran ini.

Antaranya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada penghujung tahun 2008. Polemik ini muncul kembali apabila Datuk Mukhriz Mahathir menggesa pelaksanaannya semasa kempen merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO awal tahun ini. Seruan itu disambut positif oleh beberapa tokoh termasuk Kay Kim sendiri dan Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn. Bhd, Datuk A. Kadir Jasin.

Sewaktu merasmikan “Seminar Satu Malaysia: Kesinambungan Satu Perjuangan” pada Julai lalu, Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhujah tentang keperluan sistem pendidikan disatu dan dipertemukan pada peringkat lebih tinggi sebagai pra syarat untuk mencapai matlamat 1Malaysia.

Ahmad Zahid merujuk Penyata Pelajaran Razak sebagai “roh penyatuan kepelbagaian” yang wajar dihormati dan dilaksanakan demi mencapai perpaduan kebangsaan.

Saranan dan seruan agar sekolah satu aliran dilaksanakan memang banyak. Dan suara yang menentang juga tidak kurang hebatnya.

Antara yang lantang menentang ialah MCA dan sejak akhir-akhir ini, MIC juga “tumpang sekaki”.

Mereka mendakwa sekolah pelbagai aliran sekarang tidak menghalang usaha mewujudkan perpaduan nasional. Lebih dari itu mereka mahu supaya kebebasan memilih dipertahankan dalam satu masyarakat yang majmuk.

Berdiri kuat di belakang MCA menentang konsep sekolah satu aliran ini ialah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) dan Gabungan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zhong).

Tentu Perdana Menteri sangat mafhum dengan kecenderungan Dong Zhong dan Jiao Zhong yang selalu mengintip apa MCA buat. Pada hemat saya, kerana itulah maka Datuk Seri Najib Tun Razak sangat berhati-hati agar tidak terjebak atau terperangkap dalam “polemik” sekolah aliran.

Kerana itu, mungkin lebih baik jika untuk sementara waktu, konsep Sekolah Wawasan diperkasa dan pelaksanaannya diperluaskan. Untuk masa ini, rasanya itulah yang lebih praktikal.

KeKeliRUAN....????????

Saya tertarik dengan artikel ini. mentafsirkan apa yang tersirat, tidak bermaksud untuk menyakiti mana-mana pihak, namun menzahirkan apa yang sepatutnya dilakukan. Jika tidak agama bakal dijadikan 'bahan pertikaian'. Oh tidak, tentu anda semua tidak merelakan. Akhirnya mudah orang lain memperkotak katikkan Islam yang sememangnya telah dan sedang berlaku. Baca artikel ini


'Krisis' agama rugikan umat 5/11/09

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN


MELIHAT kepada apa yang berlaku antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan bekas Mufti Negeri Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, boleh disimpulkan sebagai isu yang amat membimbangkan.

Sebabnya, polemik ini menambah sengsara umat Islam atau pun orang Melayu. Episod Melayu berpecah akibat perbezaan fahaman politik belum pun selesai, kini kita berhadapan dengan 'krisis' dalam bab agama.

Entahlah, apa lagi yang boleh menjadi 'payung' kepada umat Islam, kalau dalam bab agama yang suci ini pun kita bercelaru.

Dalam hal ini, yang pastinya gawat dan keliru adalah orang awam. Demikian juga golongan yang sedang 'mencari' agama melalui pengajian bukan secara formal di masjid, surau dan sebagainya.

Apa pun isunya, kegawatan ini perlu segera diselesaikan agar umat Islam tidak keliru sehingga membawa kepada perpecahan dan menjadikan umat Islam makin lemah.

Ingatlah firman Allah SWT: "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati, sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar." (al-Anfaal: 46).

Pada masa yang sama, kita harus berlaku adil kepada JAIS dalam penguatkuasaan tauliah kepada penceramah agama di Selangor.

Yang pasti, tauliah itu berniat baik. Ia bagi memastikan penceramah berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan bersandarkan kepada mazhab Imam Syafie.

Ini bertepatan dengan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mac 1996, Sidang Majlis Keselamatan Negara pada 17 Oktober 1996 dan mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke 27 pada 24 Jun 1997. Kesemua itu memutuskan bahawa hanya akidah ASWJ menjadi pegangan umat Islam di Malaysia. Mana-mana ajaran yang bercanggah dengan fahaman dan amalan ASWJ dilarang dan disekat penyebarannya.

ASWJ berpegang kepada empat sumber utama hukum dalam Islam iaitu al-Quran, sunnah, ijmak ulama dan qias. Pegangan tauhid di atas jalan Imam Abu Hassan al-Asyaari atau disebut fahaman al-Asya'irah.

Walaupun mazhab utama yang diamalkan adalah mengikut Imam Syafie tetapi penggunaan mazhab lain seperti Imam Hambali, Hanafi dan Maliki turut dibenarkan dalam keadaan tertentu.

Ini terkandung dalam Perkara 54 qaul muktamad yang diikuti dalam mengeluarkan fatwa dalam Undang-undang Negeri Selangor, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah Seksyen 48 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah Seksyen 53, Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad Mazhab Shafie.

Bagaimanapun, jika berpendapat dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, Jawatankuasa Fatwa boleh mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

Perkara berkaitan tauliah ini pula adalah di bawah perkenan Duli Yang Mulia Sultan sebagai Ketua Agama atau ulil amri negeri masing-masing. Dengan kata lain, mematuhi arahan tersebut juga bermakna kita mematuhi arahan pemerintah.

Dalam aspek yang lain, kita juga tidak mahu tradisi menuntut ilmu agama secara informal ini terbantut akibat 'krisis' yang berlaku ini.

Semenangnya, pengajian agama di Malaysia terutama di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur kini semakin mendapat perhatian umat Islam.

Kuliah-kuliah sama ada pada waktu zuhur, maghrib, duha dan subuh Ahad sentiasa dipenuhi oleh para jemaah yang dahagakan ilmu.

Di sinilah pentingnya penceramah yang bertauliah supaya ilmu yang disampaikan itu bertepatan dan tidak bercanggah dengan ASWJ dan mazhab Syafie yang dominan di negara kita.

Kebimbangan paling besar adalah jika berlaku penyelewengan akidah terutama di kalangan mereka yang bergelar 'ustaz dan ustazah'. Sebabnya, penyelewengan oleh golongan 'agama' lebih buruk kesannya terhadap akidah dan amalan masyarakat berbanding kerosakan yang berlaku jika ia disampaikan oleh golongan bukan agamawan.

Pada masa yang sama, sebahagian besar jemaah yang mengikuti kuliah di masjid dan surau adalah orang awam. Justeru adalah penting memastikan kuliah tersebut mematuhi ASWJ terutama dalam membicarakan hal berkaitan ilmu tauhid.

Sehubungan itu, ada baiknya diadakan muzakarah atau seminar bagi menjelaskan kepada masyarakat awam di negara kita apakah itu fahaman ASWJ dan bentuk fahaman lain yang perlu ditolak.

Jangan dibiarkan masyarakat awam terus tertanya-tanya dan keliru apakah ajaran Islam sebenarnya yang perlu mereka ikuti.

Negara mempunyai ramai ulama dan cendekiawan Islam yang mampu merungkaikan permasalahan ini supaya isu ini tidak lagi menjadi barah dalam masyarakat.

Kita tidak mahu hanya gah pada bilangan atau kuantiti umat Islam sahaja tetapi tidak ada kualiti. Lihatlah apa yang berlaku kepada umat Islam di Palestin yang diganyang oleh zionis tetapi kita hanya mampu 'memandang'.

Jumlah umat Islam yang berbilion di seluruh dunia tidak cukup menggerunkan musuh-musuh Islam. Inilah yang digambarkan melalui hadis Nabi SAW: "Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain, sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan". Sahabat bertanya, "apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?"

Rasulullah SAW menjawab: "Bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih di permukaan banjir. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit al-wahan". Seorang sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apakah al-wahan itu?" Jawab Rasulullah SAW: "Al-wahan ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut." (riwayat Abu Daud daripada Sauban).

PENULIS ialah Pengarang Agama Utusan Malaysia.

Wednesday, November 4, 2009

Dr. Asri Ditahan??????

Ini hanyalah satu pandangan peribadi. Penangkapan Dr. Mohd. Asri mengundang pelbagai telahan kerana ramai yang terkejut dan tidak percaya seorang tokoh agama, malah bekas Mufti ditahan kerana menyebarkan ilmu agama tanpa tauliah. Dalam hal ini, YAB Perdana Menteri melahirkan rasa terkejut dan menegaskan tidak ada kena mengena dengan perkara tersebut. Manakala Pengarah JAIS menegaskan beliau tidak mendapat surat tauliah dari Selangor seperti mana yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri.

Dato’ Hassan Ali yang bertanggungjawab sebagai Exco agama dilihat mengambil sikap berdiam diri. Berbeza dengan Dato’ Nik Aziz yang begitu lantang mengkritik JAIS bertindak demikian. Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia bersama 12 NGO lain menghantar memorandum kepada Yang DiPertua Agong menolak pelantikan Dr. Asri sebagai Yang DiPertua YADIM. Bekas Yang Dipertua YADIM pula didakwa melakukan pnyelewengan kuasa setelah pelantikan Dr. Asri dipertikaikan. Banyak persoalan yang belum terungkai dari perkembangan ini.

Timbul persoalan mengapakah Dr. Asri ditolak sebagai Yang DiPertua YADIM. Mengapa kini Dr. Asri di tangkap kerana memberi ceramah tanpa tauliah dan sijil agama beliau pula dipertikaikan dan didakwa membawa fahaman Wahabi. Adakah ia bertujuan mahu memburukkan Dr. Asri bagi menjadikan satu alasan munasabah beliau tidak boleh dilantik sebagai yang Dipertua YADIM, menonjolkan ketidakupayaan Menteri Besar Selangor di bawah kepimpinan parti Campuran (DAP-PKR-PAS) yang dilihat semakin kucar kacir ekoran pelbagai masalah dalaman parti dan pentadbiran negeri ataupun untuk menyembunyikan penyelewengan yang sememangnya sedang berlaku dalam YADIM seperti yang diperkatakan Dr. Asri.

Oleh itu, banyak persoalan yang tidak mampu dijawab kerana sebarang tindakan adalah untuk menjadi sebab mengapa sesuatu itu ditolak dan sebagainya. Oleh itu, keadaan ini perlu diperbetulkan bagi menjaga imej mana-mana tokoh agama yang sememangnya disegani dan mengelakkan orang ramai tidak memandang serong terhadap golongan agama. Akhirnya akan timbul sindrom ’orang agama pun tak boleh dipercayai’. Kalau inilah yang berlaku kelak, tidak dapat dibayangkan bagaimanakah perjalanan hidup dapat dilalui tanpa panduan dan pedoman agama.