Monday, May 25, 2009

Benar Apa Yang Dikata

Saya menyokong penuh dengan kata-kata Perdana Menteri yang mengingatkan rakyatnya supaya tidak menyalahgunakan konsep 1Malaysia untuk mendesak kerajaan memenuhi pelbagai tuntutan keterlaluan dan tidak munasabah. Beliau berkata demikian semasa sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di IOI Mall Puchong pada 23 Mei 2009.

Sebaliknya, Perdana Menteri berharap gagasan yang diperkenalkannya itu dapat menjurus kepada perpaduan yang lebih kental dan mampu membawa penghayatannya ke tahap lebih tinggi.

Begitu besar harapan pemimpin utama kita yang mahu melihat kesejahteraan semua kaum di Malaysia, namun agak malang apabila terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menuntut pelbagai hak,walhal tuntutan-tuntutan tersebut amat melampau dan tidak munasabah

baca seterusnya di http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Nasional/20090524231939/Article

Sunday, May 24, 2009

Hayati Bersama

Hak rakyat terus terpelihara

Oleh YUSRI SAHAT
dan ZAMZURINA AHMAD




PEKAN 23 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, konsep ‘Satu Malaysia’ tidak seharusnya disalahertikan kerana ia masih berlandaskan kepada perlembagaan dengan memastikan hak-hak keistimewaan orang Melayu terus terpelihara.

Tegas Perdana Menteri, gagasan tersebut adalah selari dengan perlembagaan apabila hak-hak kaum lain terus terbela dan dihormati.

‘‘Konsep Satu Malaysia bukan bererti ia tidak berpaksi mengikut perlembagaan kerana ia bertujuan menyatupadukan rakyat menjadi satu bangsa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-15 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) cawangan Pahang di Dewan Majlis Daerah Pekan (MDP) di sini hari ini.

Najib menjelaskan, gagasan tersebut bagi memastikan tiada rakyat negara ini terpinggir daripada arus pembangunan.

‘‘Setiap rakyat sama ada daripada kelompok yang kecil atau besar tidak akan terpinggir, sebaliknya mereka akan diberi bantuan secara sama rata,” katanya.

Gagasan itu, jelas beliau, bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kuat apabila rakyatnya yang berbilang kaum hidup bersatu padu sebagai satu bangsa.

‘‘Kita mahu menyatukan rakyat bagi melahirkan satu bangsa dan satu impian sekali gus menjadikan negara ini kuat dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, ‘senjata’ paling kuat untuk memperkukuh dan menstabilkan kerajaan ialah dengan memenangi hati rakyat.

Usaha memenangi hati rakyat itu, jelas beliau, telah diamalkan sejak negara diancam gerakan pengganas komunis pada era pascamerdeka dahulu.

‘‘Pada era demokrasi moden ini, ‘senjata’ itu terus digunakan dengan memenangi hati rakyat bagi memperkukuh dan menstabilkan kerajaan,” jelasnya.

sumber - Utusan Malaysia online , 24 Mei 2009

Saturday, May 23, 2009

Sahut Cadangan Akta Baru

Saya menyambut baik kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan untuk mewujudkan Akta Multimedia Tandatangan. Ia bertujuan untuk menangani masalah penyebaran maklumat palsu serta menyalahi undang-undang yang disiarkan melalui media dan komunikasi Internet. (Utusan Malaysia, 22 Mei2009, m/s 5)

Bagi saya, Akta tersebut amat perlu bagi mengekang penularan artikel yang merosakkan pemikiran rakyat seperti bersifat menghasut, menghentam dan menghina mana-mana pihak. Tanpa Akta sedemikian, golongan tersebut bebas mengukirkan ayat-ayat yang merosakkan yang kini bebas disiarkan di web, blog, telefon bimbit dan sebagainya.Ia jelas telah merosakkan minda dan pemikiran masyarakat yang buta kebenaran.

Bukanlah bersifat anti kepada pencetus-pencetus idea dan luahan perasaan, namun biarlah cetusan itu membina pemikiran, bermanfaat dan membantu memartabatkan bangsa dan negara dan bukan untuk kepentingan mana-mana pihak.

Akta tersebut bukan satu slogan tetapi satu mekanisme untuk membantu masyarakat agar lebih bertanggungjawab dan beretika dalam menzahirkan pandangan, ungkapan dan kenyataan.

Wednesday, May 20, 2009

Menarik Untuk Dibaca.....

Media tradisional lawan media baru: Siapa kalah?

ZAINI HASSAN
khir69@yahoo.com.my

MINGGU lalu saya menulis mengenai kuasa media melalui estet keempat - the fourth estate - dalam struktur pemerintahan negara. Saya menulis, media ialah kuasa. Estet keempat itu berada dalam doktrin kekuasaan bersama-sama estet pertama, eksekutif (perdana menteri dan menteri-menteri); estet kedua, legislatif (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan DUN); dan estet ketiga, judisial (badan kehakiman).

Hanya orang yang bijak sahaja yang akan menghargai peranan media - tidak kiralah sama ada media itu menyebelahi dirinya atau pun tidak. Pas, dalam tahun-tahun 80-an dulu paling gemar membakar akhbar Utusan Malaysia apabila tidak bersetuju dengan tulisan akhbar itu. Sambil membakar mereka akan menjerit-jerit dan memaki hamun akhbar yang diasaskan pada 1939 itu. Itu dulu. Pas dan para pemimpinnya kini sudah mula membaca Utusan Malaysia kembali. DAP pula memboikot akhbar itu sampai ke hari ini apabila ia cuba mempersoalkan dasar parti itu, terutama ke atas orang-orang Melayu. (Nota: Yang lucunya para pemimpin DAP tetap membaca Utusan Malaysia secara senyap-senyap. Untuk rekod, Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw masih baca akhbar jawi terbitan Kumpulan Utusan).

Hari ini, mereka tidak lagi membakar akhbar. Membakar akhbar adalah perbuatan kuno. Mereka kini menggunakan laman-laman blog melancarkan perang saraf ke atas akhbar-akhbar arus perdana (MSM). Istilah MSM dipopularkan oleh laman-laman blog yang rata-rata antikerajaan bagi mengapi-apikan masyarakat supaya memboikot MSM.

Seperti juga taktik parti pembangkang, matlamat mereka ialah untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada MSM kepada medium baru mereka itu. Mereka mahukan perhatian. Perhatian ialah kuasa. Ramai golongan muda yang terpengaruh, sudah termakan dengan taktik itu.

Kolum saya minggu lalu itu bertajuk Media tradisional lawan media baru: Siapa kalah? telah dipetik oleh laman blog The Malaysian Insider dalam ruangan Breaking Views. Kerana ia adalah laman maya, maka adalah orang yang menghantar secara pantas komen mengenai tulisan itu.

Baca dan renunglah antara komen-komen itu (nota: ejaan, bahasa dan mutu tulisan tidak diubah):

- "written by Abdul Said, May 13, 2009:

Sungguh memberangsangkan dan aku sudah lama tidak membeli akhbar arus perdana yang telah lama dibawa arus."

- "written by Mat Bodek, May 13, 2009:

Anjing Kurap umNo menyalak... woof! woof!"

- "written by harun, May 13, 2009

bagusla utusan dah sedar. bahawa dlm dunia media ni selain dari tulisan2 korg yg memutar belit fakta dan bersikap berat sebelah, masih ada media2 lain yg mampu memberi pandangan sebenar, paling kurang pon menyamai dengan persepsi masyarakat. jadi sebelom berkubur baiklah utusan berubah, tukarlah peraturan sape2 nk jd ketua editor kene sain borang keahlian umno, tulisan2 tu kritikal la sket terhdap kerajaan, kalau x, sile lah gali lubang kubur sendiri."

- "written by Nina Wansem, May 13, 2009

Akhirnya sedar jugak Utusan Malaysia ni ye.. Ingat kan dah buta hati.. Pekak dan tuli..

Anyway.. Aku pun tak ingin nak beli your newspaper.. Even when i saw someone old.. really old.. read your paper.. I feel sorry for them.. Not knowing the truth...

Kalau aku beli nasi lemak pun yang bungkus with Utusan Malaysia or Berita Harian - i will tell them I just wrap it in a plastic... No need newspaper.. Am so utterly disgust..."

- "written by amoker, May 13, 2009

he wanted to put an academic justice in his article but obviously he is just another BN dog that is doing exactly what his master wants . The mass media in malaysia just does not get it. It is not about agresiveness, evil twists of the new media. It is because the mainstream media have lost is legitimacy. Who wants to watch RTM, bernama or TV3 on Perak? The newspapers are showing BN as angels and Pakatan as devils. We just watch a simple, non edited video clip and have a different perspective ... that the mainsteam media was spinning again. Without credibility, there is no power. So, his article of blaming the new media is running away from the core issue ... that mainstream media have credibility issue. People (like me) have stop buying and watching with confidence. That is the real death."

Daripada komen-komen itu kita tahu menilai siapa mereka ini. Mereka ialah golongan muda yang menjauhkan diri daripada media arus perdana atas banyak faktor. Pertama ialah kerana mereka terlepas untuk menjiwai peranan sebenar media arus perdana akibat kemunculan mendadak medium blog sekitar beberapa tahun ini.

Jika dulu kita akan melalui proses bacaan media ringan (akhbar tabloid) di peringkat sekolah dan kolej; kepada bacaan berat (akhbar arus perdana) di peringkat pascasekolah dan kolej - kini tahap ini telah diambil alih oleh medium blog (dengan terlalu cepat).

"Golongan muda yang obses dengan media baru ini akan menjadi terlalu taksub dengan medium itu. Mereka yang terdedah secara luas kepada media baru ini akan menjadi opinion leader kepada kumpulan-kumpulan mereka pula dan keadaan ini akan bercambah dan bercambah…,'' kata Dr. Rahmat Ghazali, doktoran falsafah menerusi kajiannya mengenai kewartawanan dalam talian.

Kebanyakannya adalah disebabkan kemunculan blog-blog antikerajaan yang terlalu sensasi dan mengujakan. Tulisan-tulisan menarik yang tidak dikawal oleh undang-undang telah menyebabkan pembaca obses, taksub dan mempercayai 100 peratus apa yang mereka baca dan lihat tanpa mereka sendiri sedari.

"Hasil kajian dalam Malaysiakini, Harakah Online dan laman-laman blog yang lain, 99 peratus kandungannya terdiri daripada soal politik. Ia ditulis secara sensasi dan terlalu tebal dengan sifat antikerajaan. Lama-kelamaan golongan ini akan taksub dan obses dengan apa yang mereka baca,'' kata pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM itu.

Apabila sudah terpengaruh dan taksub, mereka akan melihat sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka sebagai musuh. "Itulah yang berlaku sekarang. Budaya blog ini sudah menguasai fizikal dan mental golongan itu. Jika kita tidak bertindak seperti apa yang dilakukan oleh Singapura, China atau Arab Saudi, kita bimbang mereka ini akan bertindak lebih daripada itu,'' katanya merujuk kepada budaya anakisme (memberontak dan merusuh).

Beliau berpendapat, tidak salah untuk mendapatkan jutaan maklumat dari sumber tidak bertapis itu, tetapi "apakah keupayaan minda kita sudah bersedia untuk menapisnya sendiri?"

Seperti yang saya katakan di permulaan tulisan ini, kita tidak sepatutnya memboikot mana-mana medium komunikasi ini, namun ia haruslah diterima secara berhemah dan matang. Masyarakat kini bukan seperti masyarakat Barat atau di Amerika Syarikat yang mempunyai tahap pemikiran yang tinggi.

Ketidaktentuan yang berlaku sekarang adalah disebabkan kerana "nafsu kita yang terlalu gelojoh mahu menerima perkara baru, tapi pemikiran kita belum bersedia, akibatnya kita begitu mudah dieksploitasi,'' jelas Dr. Rahmat.

II. Media: Dari satu sudut pandangan berbeza (Sepucuk surat yang dihantar untuk ruangan Forum baru-baru ini)

SEMASA saya aktif dalam gerakan Reformasi dan juga parti Pas, Utusan Malaysia saya gelarkan Utusan Meloya. Jika saya membeli pun saya akan membaca berita-berita yang tiada berkaitan politik Malaysia. Saya bersandarkan maklumat-maklumat dari Internet, SMS, Harakah dan beberapa media dari parti pembangkang, juga ceramah-ceramah anjuran parti pembangkang.

Selepas pilihan raya umum tahun lepas dan ketika itu kemenangan pakatan rakyat yang dikuasai DAP di Negeri Perak, saya mula membeli akhbar itu untuk saya mendapatkan maklumat-maklumat tentang perkembangan politik Malaysia terutama bagi negeri tumpah darah saya, Perak.

Ruangan Pendapat dan Forum merupakan ruangan yang menjadi kegemaran saya. Pada ruangan inilah yang banyak menyedarkan saya mengenai tanah air ini, perjuangan kemerdekaan, perjuangan datuk nenek moyang kita dahulu. Bagaimana sengsaranya kita apabila kuasa tidak ada lagi di tangan kita ketika itu. Kerap kali saya sebak, sedih, terharu dan kadang kala menangis sendirian apabila mengenangkan nasib bangsa Melayu ketika ini yang saling bersengketa, bermusuhan dan berpuak-puak.

Pada masa dulu, saya adalah salah seorang yang memboikot Utusan Malaysia dan menyokong usaha-usaha pihak tertentu untuk memburuk-burukkan akhbar keramat ini. Tapi mulai saat dan detik ini Utusan Melayu merupakan salah satu nadi perjuangan saya. Tidak saya relakan akhbar keramat ini diperlekehkan, dihina, dicaci. Ini sumpah pendekar Melayu. Membujur lalu, melintang patah.

- JAMAL LULKHIR (PASIR SALAK)

Sumber - Utusan Malaysia, 20 Mei 2009

Perlu Direnungi Bersama

Media tradisional lawan media baru: Siapa kalah?

Oleh ZAINI HASSAN
zaini.hassan@utusan.com.my

APA itu media, ramai yang tahu pengertiannya secara umum. Kecuali orang media sendiri, rata-rata umum tidak tahu media secara sebenar dan kuasa yang ada padanya. Tidak ramai yang tahu magnitud kekuasaan yang ada pada media. Tidak ramai juga yang tahu akhbar dan media juga dikenali sebagai fourth estate (estet keempat) iaitu hirarki keempat dalam sistem kuasa sesebuah negara.

Penulis satira Scotland era Victoria, Thomas Carlyle (1795-1881) ialah orang pertama yang mula merujuk istilah fourth estate sebagai pewarta, pemberita, wartawan dan orang media. Carlyle dalam bukunya On Heroes and Hero Warship mencatat: ‘‘Ahli politik British Edmond Burke berkata, terdapat Tiga Estet dalam Parlimen ini, tapi nun di sana di tempat duduk pemberita itu ialah Fourth Estate - kumpulan lebih penting, jauh lebih penting daripada kalian semua.”

Fourth Estate atau media diletakkan dalam satu estet yang tersendiri. Hari ini estet keempat itu berada dalam doktrin kekuasaan bersama-sama, estet pertama, eksekutif (perdana menteri dan menteri-menteri); estet kedua, legislatif (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan DUN); dan estet ketiga, judisial (badan kehakiman).

Jika yang ketiga di atas mempunyai kuasanya yang tersendiri, maka media juga mempunyai kuasa, yang jika apa-apa kuasa sekali pun disalah guna maka sesuatu yang buruk boleh berlaku. Media di Malaysia pada masa ini nampaknya sudah terbahagi kepada dua yang besar. Satu ialah media yang anda saksikan di depan mata serta lazim atau konvensional dan satu lagi ialah media yang tidak lazim depan mata, tapi berlegar aktif di alam maya.

Alam maya yang dicipta atas ramalan teoris Komunikasi Massa, Herbert Marshall McLuhan 45 tahun lalu yang meramalkan akan wujudnya apa yang difahaminya sebagai ‘otak elektronik’ atau yang disebut komputer - telah memberi satu dimensi baru kepada media di Malaysia. McLuhan juga menyebut media sebagai kampung global. Jika dia masih hidup, dia akan berkata, ia adalah satu evolusi yang berjaya dan mengkagumkan. Berbeza dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, dia acap kali menyebutnya sebagai satu kebimbangan yang mencabar apabila merujuk kepada globalisasi. Beliau betul, McLuhan pun betul.

Kuasa estet keempat di Malaysia sebenarnya sedang diuji. Media konvensional Malaysia sedang bertarung dengan media baru yang penggeraknya lebih licik, agresif, cerdik, pintar dan berkesan.

Parti politik Malaysia yang tidak mempunyai stesen televisyen kini beroperasi di alam maya menggunakan enjin yang tersedia ada. Ia beroperasi melalui tapak video percuma, YouTube atau Metacafe atau tapak-tapak yang lain. Klip video mengenai apa yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak semalam dan kelmarin boleh disaksikan selari dengan Buletin Utama di TV3 atau Warta Perdana di RTM pada jam 8 malam. Siaran itu juga bukannya bisu, tapi dengan ulasan yang panas dan pedas.

Penonton - yang rata-rata (siapa ye?) melihatnya dengan penuh asyik. Mereka ini terdiri daripada eksekutif-eksekutif muda yang masih hang-up di pejabat-pejabat masing-masing sebelum pulang ke rumah, atau pun berada dalam zon Wi-Fi masing-masing. Mereka tertarik melihat sesuatu yang luar biasa. Bukan sesuatu yang menghairankan jika kumpulan ini akan menyambar notebook mereka dengan teruja apabila tercetus sesuatu ‘drama’ seperti di Perak semalam dan kelmarin bagi mendapatkan analisis dan klip video terkini. Oleh itu, tidak hairanlah, perangkaan orang yang melihat tapak-tapak sesawang ini (view) menjangkaui puluhan hingga ratusan ribu penonton.

Kumpulan yang memuat naik (upload) video-video ini ke tapak-tapak maya itu begitu agresif, dedikasi dan sistematik. Yang pasti mereka ini bekerja untuk organisasi-organisasi NGO atau parti-parti politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan - yang tidak mempunyai saluran tapak yang sah untuk beroperasi. Yang pasti juga ulasan-ulasan mereka tidak mengambil kira soal etika atau keluhuran perlembagaan seperti yang ‘terpaksa’ diikuti media konvensional.

Kuasa estet keempat mereka ini semakin kuat. Magnitud media baru ini bukan omongan, ia adalah benar (real). Media konvensional – seperti akhbar semakin merudum dan muram. Media baru ini akan mengambil alih media kertas ini sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang.

Jika McLuhan masih ada, dia akan meramalkan 10 tahun akan datang satu medium lain yang lebih canggih akan wujud. Ia lebih berkuasa dan tidak siapa tahu mungkin kedudukan strata kuasa media pada masa itu bukan lagi estet keempat lagi tapi akan naik tarafnya (?).

Yang pasti media konvensional sekarang kalah kepada kekuasaan media baru ini. Jika bukan kalah sekarang, masanya sudah terlalu dekat untuk kalah - kecualilah sesuatu yang drastik dilakukan untuk berubah.

sumber - Utusan Malaysia online, 13 Mei 2009

Sunday, May 17, 2009

Hidup Tidak Selalu Mendongak Langit

Rasuah dalam Pas berlaku - Dr. M
KUALA LUMPUR 16 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, beliau yakin rasuah turut berlaku di dalam Pas memandangkan amalan itu semakin berleluasa di negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, parti Pas sama seperti parti-parti lain yang mana rasuah sering berlaku.

''Saya tidak hairan anggota parti itu buat benda yang bertentangan dengan ajaran Islam,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Ke-47 di sini hari ini.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi bahawa berlaku aktiviti memberi hadiah dan menjamu makanan kepada perwakilan oleh beberapa individu dalam Pas sebagai salah satu cara untuk melobi.

Mohamed Daud bagaimanapun tidak berhasrat mendedahkan mereka yang dikaitkan dengan permainan politik kotor dalam usaha melobi jawatan.

Tegas beliau, apa yang dinyatakan sebelum ini adalah secara umum tentang wujud keadaan seumpama itu berdasarkan gambaran yang diberikan oleh rakan-rakan menjelang pemilihan dalam parti.

Mengulas mengenai pertelagahan di dalam parti pembangkang itu mengenai kepimpinan ulama dan profesional, Dr. Mahathir meminta agar di buat tafsiran siapakah ulama.

Jelas beliau, perkataan ulama bermula dengan perkataan alim iaitu orang yang berpengetahuan. Bermakna, jelasnya, orang yang berpengetahuan sama dalam bidang lain termasuk perubatan juga boleh dianggap ulama tetapi ulama dalam bidang perubatan.

sumber : utusan Malaysia, 17 Mei 09

Saturday, May 16, 2009

Betapa Luasnya Konsep 1 Malaysia

1Belia, 1Malaysia perlu diterap dalam pergerakan

MELAKA: Datuk Seri Najib Razak berkata, pendekatan 1Belia, 1Malaysia adalah satu konsep penting yang perlu diterapkan dalam pergerakan belia di negara ini.


Perdana Menteri berkata, beliau percaya konsep 1Malaysia akan menjadi lebih bermakna sekiranya golongan muda turut mengambil konsep 1Belia, 1Malaysia.


“Langkah yang seribu itu bermula dengan yang satu, Malaysia tidak akan menjadi satu sekiranya belianya tidak berpadu.


"Dari itu, terletak di jemala golongan belia satu amanah sebagai pewaris yang sewajarnya meneruskan perjalanan mulia ini dengan memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional. Jika tidak, segala apa yang kita bangunkan, akan hancur dan ranap begitu sahaja," katanya.


Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Belia Negara 2009 yang disiarkan pada Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, dekat sini, semalam.


Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 15,000 pemimpin dan wakil belia itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah.


Dalam perutusan kira-kira 20 minit itu, Najib juga berkata, belia perlu sedar bahawa kerukunan yang dicapai negara selama ini bukan sesuatu yang mudah tetapi, dirintis oleh mereka terdahulu dengan segala jerih dan kepayahan.


Katanya, sebagai golongan yang dilahirkan pascamerdeka, umur belia nampak paling subur untuk merealisasikan konsep 1Malaysia.


"Ingatlah bahawa di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung, lantaran itu saudara saudari sekalian harus melihat antara satu sama lain dengan pandangan 1Malaysia,” katanya.

sumber : Berita Harian, 16 Mei 2009

Thursday, May 7, 2009

Sidang DUN Perak tengah panas

oo banyak blog gak tengah dok update perkembangan Sidang DUN di Perak. Antaranya http://keadilangerik.blogspot.com, http://anje-online.blogspot.com, http://politikbanjar.blogspot.com, http://haninasution.blogspot.com/, http://manjongmari.blogspot.com/http://abnnasution.blogspot.com/http://www.malaysiawaves.com, http://idhamlim.blogspot.com. Ada yang mencadangkans enanag-senang bubar DUN. Agaknye dia orang ingat senang ke buat camtu, atau dia orang ni nak taste market je ke

Apa Nak jadi Ni

Apa nak jadi ni, kes ragut mula menghantui masyarakat. Perkembangan yang berlaku membuatkan apakah yang menyebabkan mereka sanggup bertindak demikian, Bertindak kejam tanpa rasa simpati dan kesihan kepada mangsa. Apakah isu di sebalik tindakan tersebut. Adakah mereka terhimpit dengan kehidupan sekarang, kos kehidupan semakin meningkat, gaji tak cukup,mak bapa tak peduli asyik mengejar duit, kerja tak ada ataupun mereka ni memang suka merompak. Adalah tidak mustahil mana ada orang nak lahir untuk merompak.

Justeru, banyak perkara yang perlu dilihat oleh pihak yang berwajib. Banyak pendekatan baru yang perlu dilihat, dikaji dan dilaksanakan. sebagai warganegara saya turut bersimpati dengan dua orang ibu mengandung telah menjadi mangsa peragut. Moga Allah mencucuri roh mereka dan diletakkan di kalangan orang yang beriman. Amin.....