Wednesday, November 4, 2009

Dr. Asri Ditahan??????

Ini hanyalah satu pandangan peribadi. Penangkapan Dr. Mohd. Asri mengundang pelbagai telahan kerana ramai yang terkejut dan tidak percaya seorang tokoh agama, malah bekas Mufti ditahan kerana menyebarkan ilmu agama tanpa tauliah. Dalam hal ini, YAB Perdana Menteri melahirkan rasa terkejut dan menegaskan tidak ada kena mengena dengan perkara tersebut. Manakala Pengarah JAIS menegaskan beliau tidak mendapat surat tauliah dari Selangor seperti mana yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri.

Dato’ Hassan Ali yang bertanggungjawab sebagai Exco agama dilihat mengambil sikap berdiam diri. Berbeza dengan Dato’ Nik Aziz yang begitu lantang mengkritik JAIS bertindak demikian. Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia bersama 12 NGO lain menghantar memorandum kepada Yang DiPertua Agong menolak pelantikan Dr. Asri sebagai Yang DiPertua YADIM. Bekas Yang Dipertua YADIM pula didakwa melakukan pnyelewengan kuasa setelah pelantikan Dr. Asri dipertikaikan. Banyak persoalan yang belum terungkai dari perkembangan ini.

Timbul persoalan mengapakah Dr. Asri ditolak sebagai Yang DiPertua YADIM. Mengapa kini Dr. Asri di tangkap kerana memberi ceramah tanpa tauliah dan sijil agama beliau pula dipertikaikan dan didakwa membawa fahaman Wahabi. Adakah ia bertujuan mahu memburukkan Dr. Asri bagi menjadikan satu alasan munasabah beliau tidak boleh dilantik sebagai yang Dipertua YADIM, menonjolkan ketidakupayaan Menteri Besar Selangor di bawah kepimpinan parti Campuran (DAP-PKR-PAS) yang dilihat semakin kucar kacir ekoran pelbagai masalah dalaman parti dan pentadbiran negeri ataupun untuk menyembunyikan penyelewengan yang sememangnya sedang berlaku dalam YADIM seperti yang diperkatakan Dr. Asri.

Oleh itu, banyak persoalan yang tidak mampu dijawab kerana sebarang tindakan adalah untuk menjadi sebab mengapa sesuatu itu ditolak dan sebagainya. Oleh itu, keadaan ini perlu diperbetulkan bagi menjaga imej mana-mana tokoh agama yang sememangnya disegani dan mengelakkan orang ramai tidak memandang serong terhadap golongan agama. Akhirnya akan timbul sindrom ’orang agama pun tak boleh dipercayai’. Kalau inilah yang berlaku kelak, tidak dapat dibayangkan bagaimanakah perjalanan hidup dapat dilalui tanpa panduan dan pedoman agama.

No comments: