Monday, April 20, 2009

Guan Eng Kurang Gembira

PULAU PINANG 19 April - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengakui secara peribadi beliau kurang gembira dengan perkembangan yang berlaku berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM 1) dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti baru-baru ini.

Bagaimanapun Guan Eng berkata, demi semangat setiakawan dalam pakatan pembangkang, beliau menyerahkan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

"Saya rasa kurang gembira dengan perkembangan yang berlaku tetapi ada kekosongan bagi jawatan itu (ADUN Penanti) maka memang perlu ada pilihan raya kecil.

"Tetapi saya rasa tentang pilihan raya kecil itu biarlah tanya (pada) Anwar," katanya pada sidang akhbar media ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung peletakan jawatan Mohammad Fairus sebagai TKM 1 dan ADUN Penanti.

Guan Eng sebelum itu menyampaikan ucaptama pada seminar Earth Day Dialogue : Plastic Bag: To Ban Or Not To Ban di sini hari ini.

Mengenai pemilihan calon TKM 1, Guan Eng berkata: "Kita hanya tunggu cadangan dari beliau (Anwar)...saya telah beri masa kepadanya untuk buat cadangan.

"Untuk mengelakkan lebih banyak spekulasi lebih baik serahkan kepada Anwar untuk menjawab segala persoalan ini. Ada banyak juga khabar angin mengenai barisan ADUN yang ada yang kurang layak untuk mengisi kekosongan jawatan TKM 1," katanya.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Barisan Nasional (BN) mungkin tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Guan Eng berkata, terpulang kepada BN kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi. - BERNAMA

sumber : Utusan Malaysia, 20 April 2009

No comments: