Sunday, April 19, 2009

Lagi...............PRK

Sebagai rakyat Malaysia, saya turut bersependapat dengan analisis yang dibuat oleh pengarang Berita Harian pada 19 April 2009 bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mengkaji kemungkinan hanya mengadakan pilihan raya kecil jika wakil rakyatnya meninggal dunia atau kedudukannya terbatal akibat keputusan mahkamah dan juga boleh meminda akta suruhanjaya untuk tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil jika wakil rakyat meletak jawatan tanpa sebab munasabah.

Malah di kalangan pemimpin-pemimpin BN juga turut memberi reaksi yang berbeza sama ada wajarkah BN perlu bertanding pada PRK DUN Penanti.

Seterusnya blog http://n32.blogspot.com yang memetik laporan akhbar The Star 18 April 2009 yang menyiarkan PRK terakhir yang dikendalikan iaitu Permatang Pauh, Kuala Terengganu. Bukit Gantang, Batang Ai dan Bukit Selambau Kerajaan telah berbelanja RM33.4 juta (2.4 juta SPR, RM31 juta Polis.

Berikut merupakan pecahan belanja pihak polis

Permatang Pauh - RM2.5 juta
Kuala Terengganu - RM11.5 juta
Bukit Gantang - RM7 juta
Bukit Selambau-RM5 juta
Batang Ai - RM5 juta

Minda Pengarang:SPR wajar tegas elak 'pembaziran'Pilihan Raya
Kecil


SELEPAS Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu, sudah lima pilihan raya kecil diadakan, dengan empat daripadanya dimenangi Pakatan Rakyat dan satu Barisan Nasional (BN). Daripada lima kekosongan kerusi itu, tiga diadakan berikutan kematian wakil rakyat kawasan terbabit, iaitu Parlimen Kuala Terengganu pada Januari lalu, Parlimen Bukit Gantang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air di Sarawak, kedua-duanya baru diadakan. Namun, pilihan raya kecil kerusi DUN Bukit Selambau yang juga baru diadakan dan Parlimen Permatang Pauh pada Ogos 2008, diadakan kerana wakil rakyatnya meletak jawatan. Kebetulan dua kerusi itu disandang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon pengganti, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh) dan S Manikumar (Bukit Selambau) menang dalam pilihan raya kecil berkenaan. Kelmarin, seorang lagi wakil rakyat PKR, iaitu bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin mengosongkan kerusi DUN Penanti, yang kebetulan dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang. Pilihan Raya Umum Ke-12 baru 13 bulan berlalu dan ini bermakna masa masih panjang, iaitu sekitar empat tahun atau kurang untuk Pilihan Raya Umum Ke-13. Jika trend sekarang berterusan, entah berapa banyak lagi pilihan raya kecil perlu diadakan sebelum pilihan raya umum akan datang. Kita boleh menerima kekosongan sesuatu kerusi Parlimen atau DUN jika wakil rakyatnya meninggal dunia, tetapi bukan kerana meletak jawatan sewenang-wenangnya.

Sudah tiba masanya bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji kemungkinan hanya mengadakan pilihan raya kecil jika wakil rakyatnya meninggal dunia atau kedudukannya terbatal akibat keputusan mahkamah. SPR sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan sama ada berlaku kekosongan bagi sesuatu kerusi tertentu dan ini bermakna, kerajaan boleh meminda akta suruhanjaya untuk tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil jika wakil rakyat meletak jawatan tanpa sebab munasabah. Jika wakil rakyat itu dikatakan lemah atau bermasalah, biar pengurusan tertinggi partinya mengambil alih tugas wakil rakyat sehingga pilihan raya umum diadakan. Pilihan raya kecil bukan saja membuang banyak masa, tenaga dan wang ringgit, malah boleh mencetuskan ketegangan, gara-gara kempen terlalu agresif. Dalam kes Mohammad Fairus, apakah perlu beliau meletak jawatan dan apa alasannya? Sehari sebelum Ibu Pejabat PKR mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan itu, beliau dalam satu temu ramah dengan akhbar Nanyang Siang Pau mendakwa berlaku plot untuk menjatuhkannya dan memberi parti itu dua minggu untuk membersihkan namanya atau beliau akan mendedahkan masalah dalaman PKR dan kerajaan Pulau Pinang. Malah, beliau mendakwa menjalankan tugas dengan baik, cuma tidak diberi publisiti, termasuk oleh Suara Keadilan sendiri menyebabkannya kelihatan 'tidak buat kerja.' Turut menghairankan ialah mengapa PKR tidak mahu Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong meletak jawatan, sebaliknya terus menyambung tugas Exco Selangor, kelmarin selepas tercetus isu gambar separuh bogelnya. Semua ini menggambarkan amalan 'double standard' PKR. Apapun, ada juga kemungkinan pilihan raya kecil itu sengaja dirancang untuk meneruskan 'gelombang sokongan' kepada Pakatan Rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang.

sumber - Berita Harian(Minda Pengarang - Rencana), 19 April 09

No comments: