Sunday, May 24, 2009

Hayati Bersama

Hak rakyat terus terpelihara

Oleh YUSRI SAHAT
dan ZAMZURINA AHMAD




PEKAN 23 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, konsep ‘Satu Malaysia’ tidak seharusnya disalahertikan kerana ia masih berlandaskan kepada perlembagaan dengan memastikan hak-hak keistimewaan orang Melayu terus terpelihara.

Tegas Perdana Menteri, gagasan tersebut adalah selari dengan perlembagaan apabila hak-hak kaum lain terus terbela dan dihormati.

‘‘Konsep Satu Malaysia bukan bererti ia tidak berpaksi mengikut perlembagaan kerana ia bertujuan menyatupadukan rakyat menjadi satu bangsa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-15 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) cawangan Pahang di Dewan Majlis Daerah Pekan (MDP) di sini hari ini.

Najib menjelaskan, gagasan tersebut bagi memastikan tiada rakyat negara ini terpinggir daripada arus pembangunan.

‘‘Setiap rakyat sama ada daripada kelompok yang kecil atau besar tidak akan terpinggir, sebaliknya mereka akan diberi bantuan secara sama rata,” katanya.

Gagasan itu, jelas beliau, bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kuat apabila rakyatnya yang berbilang kaum hidup bersatu padu sebagai satu bangsa.

‘‘Kita mahu menyatukan rakyat bagi melahirkan satu bangsa dan satu impian sekali gus menjadikan negara ini kuat dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, ‘senjata’ paling kuat untuk memperkukuh dan menstabilkan kerajaan ialah dengan memenangi hati rakyat.

Usaha memenangi hati rakyat itu, jelas beliau, telah diamalkan sejak negara diancam gerakan pengganas komunis pada era pascamerdeka dahulu.

‘‘Pada era demokrasi moden ini, ‘senjata’ itu terus digunakan dengan memenangi hati rakyat bagi memperkukuh dan menstabilkan kerajaan,” jelasnya.

sumber - Utusan Malaysia online , 24 Mei 2009

No comments: